Tuesday, April 27, 2010

Kerajaan kaji naikkan elaun, naik taraf kuarters guru di pedalaman

SISIPAN AKHBAR BERITA HARIAN 26/4/2010 :

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji keperluan menaikkan elaun tambahan guru-guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman terutama di kawasan yang dikategorikan sebagai pedalaman 2 (P2) dan pendalam 3 (P3), kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi.

Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada langkah yang ditimbangkan kerajaan bagi memastikan guru-guru di kawasan itu yang kebanyakannya terletak di pedalaman Sabah dan Sarawak, mendapat kemudahan yang sewajarnya.
"Memang saya akui guru-guru ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, sebagai contoh di Kinandut apabila mereka yang keluar membeli barang di Pensiangan kadang-kadang tersadai sehingga dua hari apabila pemandu lupa mengambil mereka dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mengajar manakala kos mereka pergi balik naik bot pula lebih kurang RM500.
"Sebab itu guru-guru di kawasan P3 di beri elaun tambahan RM1,500, P2 RM1,000 dan P1 RM500. Oleh itu kerajaan sedang berusaha untuk mengkaji semula sama ada elaun ini boleh dinaikkan atau pun tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Ahamat@Ahamad Yusop yang mahu tahu langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian bagi memastikan guru-guru di pedalaman Sabah dan Sarawak mendapat kemudahan sewajarnya.

Puad berkata kerajaan juga sedang berusaha menaik taraf kuarters guru-guru di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bagi memastikan keselamatan mereka yang mendiaminya terjamin.

"Kerajaan akan pastikan kuarters penginapan guru-guru ini selamat untuk diduduki dan akan naik taraf supaya ia sesuai dan selamat terutama untuk guru-guru wanita yang bertugas di pedalaman. Kerajaan akan pastikan bangunan itu selamat, kukuh, pintunya kuat dan berpagar," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengambilan guru Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini berjumlah 7,079 orang.
"Bagi KPLI 1,435 calon lelaki dan 2,270 calon wanita dipanggil untuk temuduga bagi mengisi kekosongan 1,878 tempat. Manakala KPLSM 5,030 calon lelaki dan 5,118 calon wanita dipanggil untuk temuduga bagi mengisi 5,201 kekosongan," katanya.

Mengenai nisbah pengambilan guru yang akan diseimbangkan mengikut jantina iaitu 50 peratus lelaki dan 50 peratus wanita mulai tahun ini, beliau berkata ini disebabkan kerajaan kini memerlukan guru lelaki sebagai guru disiplin dan sebagai tenaga pengajar di kawasan pedalaman.

"Guru lelaki lebih sesuai sebagai guru disiplin bagi mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar. Mereka juga sesuai untuk dihantar ke pedalaman atas faktor keselamatan dan sebagai memenuhi aspirasi kementerian yang mahukan sukan dimasukkan sebagai elemen penting dalam kurikulum persekolahan," katanya.

Puad berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Azizah Abd Samad yang ingin tahu langkah kementerian dalam mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar lelaki dan jumlah calon mengikut gender yang memohon untuk menjadi guru bagi tahun ini. - Bernama

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP